Tuesday, December 18, 2007

Beralih ke Blog Baru: Taman Ulama


Blog saya ini www.mauswah.blogspot.com, buat masa ini tidak akan saya aktifkan lagi. Sekarang ini, saya akan beralih ke blog baru saya iaitu www.tamanulama.blogspot.com. Saya akan lebih menumpukan pada blog baru saya dan di situ saya akan aktifkan selalu. Kalau ada yang perlu, mungkin saya akan hantar beberapa posting di blog lama saya ini.

Di blog baru saya itu, saya akan lebih banyak menumpukan kepada biografi ulama. Sudi-sudikanlah melawati blog baru saya itu. Banyak yang akan anda dapati kisah hidup ulama dan gambar ulama di situ yang lain dari yang lain. Saya akan membawa anda menyusuri perjalanan kisah hidup ulama melalui taman ke taman. Salam ukhuwah.

Thursday, October 11, 2007

Pelita Syawal



Hari Raya ini
bagaikan pelita yang menyala
bersinar terang padanya kebahagiaan
takkan padam sinar kemeriahannya
sehingga datang suatu waktu
akan pudar sinar ukhuwahnya.

Hari raya ini
kita gembira menyambutnya
bersolat hari raya
menziarahi saudara dan teman
mengunjungi mereka yang telah pergi
bermaaf-maafan melupakan kesalahan
yang lalu.

Namun selepas
berlalunya Syawal
akhlak kita masih lagi tercemar
masih usang
masih gersang
ke manakah perginya nur Ramadan?
ke manakah perginya pelita Syawal
yang baru saja berlalu?

M.A.Uswah,
Sandakan.


Syair Hari Raya



Syawal bulan yang gembira,
Kita menyambut hari raya,
Bersyukur kita pada yang Esa,
Dikurniakan nikmat tak terhingga.

Bulan kemenangan setelah berpuasa,
Kita menunaikan solat hari raya,
Bertakbir dan bertahmidlah kita,
Memuji Tuhan yang Maha Esa.

Hari Raya untuk bergembira,
Ziarah-menziarahi sesama kita,
Tak lupa juga kunjungilah pusara,
Moga berbahagia di alam baqa'.

Hari ini bermaaflah kita,
Masih adakah dendam tersisa,
Bukan saja pada hari raya,
Moga ukhuwah terjalin selamanya.


M.A.Uswah,
Sandakan.


Saturday, September 29, 2007

Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan dan Ditokok Tambah



Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian A: Perkara yang ditinggalkan

[1] Meninggalkan sahur pada akhir waktu

Termasuk perkara yang ditinggalkan dalam amalan berpuasa ialah meninggalkan sahur pada akhir waktu. Sudah menjadi kebiasaan sebahagian orang bersahur pada lewat malam, lebih kurang pukul 11 atau 12 malam, kemudian tidur sehinggalah masuk waktu Subuh. Ini menyalahi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mengajar kita kepentingan bersahur dan melewatkannya sehingga ke saat jelas kepada kita waktu Subuh telah masuk. Baginda bersabda:

Bersahurlah kerana sesungguhnya di dalam sahur ada keberkatan.

Pembeza antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur.

Daripada Anas bin Malik, Zaid bin Tsabit menerangkan bahawa mereka bersahur bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian bangun pergi mendirikan solat (Subuh). Anas bertanya: “Berapa lamakah tempoh antara keduanya (antara sahur dan solat Subuh)?” Zaid menjawab: “Sekadar tempoh membaca 50 atau 60 ayat al-Qur’an.”

Hadis pertama dan kedua menerangkan keutamaan dan kepentingan bersahur. Hadis ketiga menerangkan kepada kita bahawa sebaik sahaja selesai bersahur, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bangun untuk bersolat. Ini menunjukkan bahawa waktu sahur selesai sebaik sahaja masuk waktu Subuh. Tempoh antara sahur dan solat selama bacaan 50 atau 60 ayat bukanlah menunjukkan masa berakhirnya sahur sebagaimana yang difahami oleh sebahagian pihak[10], tetapi menunjukkan tempoh bermulanya sahur. Katakanlah tempoh membaca 50 atau 60 ayat adalah sekadar 20 minit dan waktu Subuh ialah 5.40 pagi, maka mereka mula bersahur pada pukul 5.20 pagi.

Bersahur bererti makan dan/atau minum pada akhir waktu untuk berpuasa. Sebanyak mana yang ingin dimakan dan/atau diminum terpulang kepada setiap individu. Ada sebahagian orang yang selesa dengan jamuan yang berat manakala ada sebahagian lain yang selesa dengan jamuan yang ringan. Bahkan mungkin ada yang selesa sekadar minum air segelas. Yang penting bukanlah berat atau ringan jamuan tersebut tetapi adalah bangun untuk bersahur. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Makan sahur adalah keberkatan maka janganlah kamu tinggalkannya sekalipun kamu hanya minum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur.


Bahagian B: Perkara yang ditokok tambah
[1] Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa

Tumpuan kita yang pertama kepada perkara yang ditokok tambah ialah hukum memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa. Contohnya:



1. Memasukkan pen ke dalam mulut membatalkan puasa.



2. Menelan air liur membatalkan puasa.



3. Mengorek telinga atau membersihkan telinga dengan cotton buds membatalkan puasa.



4. Mengorek hidung atau debu pasir yang masuk ke dalam hidung membatalkan puasa.



5. Membuang air besar tanpa meneran sepenuhnya agar najis keluar sekali gus membatalkan puasa.

Semua di atas dan pelbagai lagi yang seumpama adalah hukum yang ditokok tambah ke dalam ibadah puasa sehingga benar-benar memberatkan umat Islam. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:



Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebut pernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur’an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya dengan sebaik-baiknya.



Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi‘e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama’ masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya.

Yang sebenarnya membatalkan puasa hanyalah tiga perkara iaitu bersetubuh, makan dan minum. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib). [al-Baqarah 2:187]

Makanan dan minuman yang membatalkan puasa terbahagi kepada dua kategori:

Pertama:

Sesuatu yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga secara hakiki kepada orang yang mengambilnya, sekali pun dalam jumlah yang sedikit.

Apa-apa makanan yang diambil secara sengaja dan sampai ke perut, maka ia membatalkan puasa. Apa-apa minuman yang diambil secara sengaja dan melalui tenggorok, maka ia membatalkan puasa. Apa-apa zat makanan yang dimasukkan ke dalam darah melalui suntikan, umpama glukosa yang diberikan kepada pesakit yang tidak dapat makan dan minum seperti biasa, ia juga membatalkan puasa.



Maka dengan itu apa-apa benda, makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam rongga-rongga manusia, ia tidaklah membatalkan puasa. Contohnya, memasukkan pen ke dalam mulut, menggosok gigi, berkumur-kumur, membersihkan telinga, mengorek hidung, menggunakan ubat titisan mata, menyedut debu, peneranan yang tidak sempurna ketika membuang air besar dan pelbagai lagi, semua ini tidak membatalkan puasa.



Merasai makanan yang sedang dimasak tidak membatalkan puasa asalkan ia dikeluarkan semula. Baki makanan yang ditemui terselit di celah-celah gigi tidak membatalkan puasa asalkan ia tidak ditelan secara sengaja. Menelan air liur, sengaja atau tidak sengaja, juga tidak membatalkan puasa. Air liur tidak pernah dianggap di sisi manusia yang normal sebagai minuman. Seandainya air liur adalah sejenis minuman, nescaya tidak ada manusia yang mati kehausan jika terdampar di padang pasir.



Demikian juga, mengambil suntikan insulin bagi pesakit kencing manis dan menggunakan alat melegakan pernafasan bagi pesakit asma, ia tidaklah membatalkan puasa.



Timbul persoalan, adakah menelan ubat tanpa disertai apa-apa minuman membatalkan puasa? Contohnya seorang berpuasa yang menghadapi pening kepala, lalu dia menelan dua biji Panadol. Adakah ini membatalkan puasa? Yang benar dia tidak perlu meneruskan puasanya kerana sakit yang dihadapinya adalah salah satu bentuk keuzuran yang membolehkan dia berbuka. Maka berbuka adalah lebih utama daripada menjerumuskan diri ke dalam sesuatu yang diperselisihkan hukumnya.

Kedua:

Sesuatu yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga secara psikologi sekali pun dalam jumlah yang sedikit. Ia bukanlah makanan dan minuman tetapi mengambilnya memberi kesan psikologi berupa kepuasan atau kenikmatan yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga bagi nafsu.



Contohnya ialah orang yang menghisap rokok. Asap rokok bukanlah makanan atau minuman tetapi bagi penghisap rokok, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka menghisap rokok membatalkan puasa. Akan tetapi bagi orang di sekitarnya yang terhisap asap rokok tersebut (secondary smoker), ia tidak membatalkan puasa kerana asap rokok tersebut bukanlah satu nikmat bagi diri mereka.



Tetap pada contoh asap, menyedut asap kenderaan di lalulintas yang sesak tidak dianggap membatalkan puasa. Ini kerana asap kenderaan bagi manusia yang norma, tanpa dibezakan dia penghisap rokok atau tidak, bukanlah suatu nikmat yang memuaskan.



Contoh lain ialah menghisap dadah atau mengambil dadah melalui suntikan. Dadah bukanlah makanan atau minuman tetapi bagi penagih dadah, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka menghisap atau menagih dadah membatalkan puasa.



Dalil bagi apa yang disebut dalam kategori kedua ini ialah hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa Allah berfirman (Hadis Qudsi):



Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku.[14]



Yang dimaksudkan dengan meninggalkan kenikmatan bukanlah semua bentuk nikmat seperti tidur, mandi dan sebagainya. Akan tetapi ia adalah nikmat yang terhasil pada diri seseorang seumpama makan dan minum.

Daripada penjelasan di atas, jelas bahawa dalam kebanyakan aktiviti seharian kita yang normal, tidak ada sesuatu yang menyebabkan terbatalnya puasa. Antara hikmah berpuasa adalah mendisiplinkan diri daripada bersetubuh, makan, minum dan sesuatu kenikmatan yang seumpama makan dan minum pada siang hari. Menokok tambah hukum bahawa kononnya memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa tidak ditemui dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ia juga tidak memiliki apa-apa peranan mahupun manfaat dari sudut hikmah disyari‘atkan berpuasa.

Dalil yang lazimnya digunakan oleh pihak yang mengatakan batal puasa bagi seseorang yang memasuk sesuatu ke dalam rongga badannya ialah hadis berikut:

Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.

Berdasarkan sabda Rasulullah “…kecuali jika kamu sedang berpuasa” mereka memahami bahawa seseorang itu dilarang menyedut air ke dalam hidung apabila sedang mengambil wudhu’ dalam keadaan berpuasa. Jika dimasukkan air, ia akan membatalkan puasa. Kemudian fahaman ini diluaskan kepada semua rongga tubuh badan berdasarkan analogi (qiyas).

Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.”

[2] Mewajibkan lafaz niat

Membaca lafaz niat untuk berpuasa atau untuk apa-apa ibadah lain seperti wudhu dan solat sebenarnya adalah tidak perlu, jauh sekali daripada bersifat wajib. Yang wajib adalah seseorang itu mengetahui dengan sedar ibadah apa yang bakal dilakukannya. Jika seseorang itu lazimnya diganggu dengan perasaan was-was, maka dianjurkan melintaskan di dalam hati sekadar “Inilah puasa aku” atau “Inilah solat Zohor aku”. Jika masih was-was maka boleh menyebutnya secara lisan untuk mengukuhkan lintasan hati. Jika setelah itu masih was-was, maka janganlah diberi perhatian kerana ia tidak lain adalah permainan syaitan.

[3] Menetapkan waktu imsak

Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.”[17]

Dalam ayat dan hadis di atas, jelas bahawa dibolehkan untuk bersahur, yakni makan dan minum, sehingga jelas terbitnya fajar atau dilaungkan azan Subuh. Tidak wujud waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu Subuh.

[4] Menghukum makruh jika mandi ketika puasa

Antara hukum yang ditokok tambah ialah kononnya makruh untuk mandi pada petang hari ketika berpuasa. Yang benar hukumnya adalah sunnah kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menyiram air ke kepalanya kerana haus atau panas. Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman radhiallahu 'anh berkata:

Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat), baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa. Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan.

Berkata al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah:



Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan sekalipun.

Sumber: http://al-firdaus.com/RisalahPuasa/new/lima.htm melalui bukunya berjudul Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa terbitan Perniagaan Jahabersa

Tuesday, September 25, 2007

Nikmat Ramadan


Ramadan
yang lazat
rasanya begitu sedap
rasanya begitu enak
rasanya begitu manis.

Nikmat puasa
pada pagi hari
menahan lapar
dan dahaga
mengisinya dengan
kerohanian.

Nikmat solat tarawih
pada malam hari
menghadap Tuhan yang Esa
dengan rohani yang khusyuk
bersama keimanan,
kehambaan dan ketaqwaan.

Begitu nikmatnya
bulan Ramadan ini
nikmat yang tiada terhingganya
terasa insaf
tersa hamba
terasa asyik
terasa bertuhan
terasa cinta.

Ramadan
hampir menutup tirainya
pergi meninggalkan kesan
yang mendalam
dan Syawal pun
membuka tabirnya.

M.A.Uswah,
Sandakan,
November 2004.

Nur Ramadan


Telah tibalah pelita ramadan
yang tiada tandingannya
memancarkan cahaya yang
terang-benderang
walaupun ia hanya
terjadi sekali saja
namun kejadiannya sangat
menakjubkan.

Puasa
mendidik kita supaya
membaiki diri
menginsafkan kita
di kala menderita
dan sabarlah yang
menjadi kekuatan iman.

Solat tarawih ibadah
yang istimewa
merasakan kehambaan dan
kerdilnya kita di hadapan Tuhan.

Ramadan
menghadiahkan kerahmatan
menghadiahkan keampunan
menghadiahkan kenikmatan.

Zakat
tunaikanlah ia
pada akhir Ramadan
agar mereka yang susah
tidak meminta
pada hari raya.

Moga nur Ramadan
menyala buat selama-lamanya.

M.A.Uswah,
Sandakan,
November 2004.

Syair Ramadan



Ramadan bulan yang mulia,
Ia bulan yang istimewa,
Beribadah padanya mendapat pahala,
Dijauhkan dari seksaan neraka.

Bulan keampunan doa diterima,
Puasa itu mendidik jiwa,
Menahan lapar dan dahaga,
Lebih utama menahan rohaninya.

Bulan lailatul qadar yang istimewa,
Diturunkan kitab al-Quran padanya,
Solat tarawih pada malamnya,
Begitu khusyuk jiwanya rela.

Hayatilah bulan mulia ini,
Muhasabah diri menjadi terpuji,
Bermuhajadah melawan nafsu diri,
Supaya menjadi mukmin sejati.

M.A.Uswah,
Sandakan,
November 2004.